Lebih 80 peratus kenderaan didakwa pecut walaupun melalui depan sekolah. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY


Alor Setar: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu bertanggungjawab dan memainkan peranan mencari penyelesaian terbaik untuk mengatasi isu keselamatan pelajar di sekolah termasuk melibatkan kemalangan jalan raya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS) Kedah, Zainol Abidin Mohamad berkata, pihaknya tidak menafikan isu trafik dan kemalangan menjadi masalah utama yang sering dibangkitkan dalam mesyuarat PIBG dalam kalangan ibu bapa.

"Kita tahu ada isu pengawal keselamatan dikurangkan kerana kurang peruntukan. Jadi ibu bapa dan PIBG perlu duduk semejaatasi masalah keselamatan anak-anak mereka. Jika mampu mereka boleh mengupah anggota Rela untuk mengawal trafik terutama di waktu puncak."

"Jika tidak berkemampuan mungkin boleh cari mana-mana ibu bapa yang bekas anggota tentera, Rela atau polis bantu. Isu seperti ini sudah lama berlaku dan ia juga jadi topik utama kalau mesyuarat PIBG," katanya ketika dihubungi semalam.

Menurut beliau, pelajar yang belajar di sekolah-sekolah yang terletak berhampiran lebuh raya di negeri inipaling berisiko terlibat kemalangan kerana banyak kenderaan.

"Kita kesal dengan sikap sesetengah pemandu termasuk kenderaan berat yang tidak bertanggungjawab ketika melalui kawasan sekolah walaupun terdapat papan tanda di lokasi sekolah. Memang lebuh raya semua nak laju walaupun di depan tu ada sekolah."

"Contohnya di Kedah ini, ada sekolah yang letaknya betul-betul tepi lebuh raya dan jalan yang sangat sibuk seperti di Changlun dan Jitra," katanya.


Sumber dan Kredit:  Teon Eg - Utusan Malaysia

Akhbar: Utusan Malaysia - Segmen Komuniti (Nasional) : Halaman 5