Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menyampaikan replika cek bernilai RM10,000 kepada Zainol Abidin.


ALOR SETAR - Keperibadian dan ketokohan guru Matematik, Zainol Abidin Mohamad, 63, melayakkan beliau menerima pengiktirafan sebagai Tokoh Guru Negeri Kedah 2022 pada sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Kedah 2022, pada Selasa.

Anak jati kelahiran Changlun itu menerima replika cek bernilai RM10,000 bersama sijil dan piala yang disampaikan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Zainol Abidin yang juga Tokoh Guru Daerah Kubang Pasu 2022 berkata, dia tidak menyangka akan terpilih menerima anugerah berprestij terbabit memandangkan percalonan dari daerah lain juga tidak kurang hebatnya.

"Alhamdulillah mungkin sudah tertulis rezeki saya di sini dan insya-ALLAH anugerah ini menguatkan semangat saya untuk terus berbakti kepada anak bangsa kita," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Menurut bapa kepada empat cahaya mata ini, walaupun bersara sejak tahun 2007 namun dia masih lagi aktif mengajar dan terlibat dalam sebarang aktiviti di sekolah.

Saya merupakan Yang Dipertua PIBG untuk beberapa buah sekolah selain berperanan sebagai Pengerusi Penglibatan Ibubapa, Komuniti dan Sektor Swasta (PIBKS) negeri Kedah, jadi hubungan saya dengan guru serta pelajar sangat akrab.

"Saya masih turun ke sekolah-sekolah yang bermasalah dalam mata pelajaran Matematik atau Matematik Tambahan untuk berikan ceramah teknik menjawab peperiksaan," katanya.


Sumber dan Kredit:  Roshila Murni Rosli - Sinar Harian